Friday, November 27, 2009

Frasa "Saya Yang Menurut Perintah"

SAYA adalah antara ribuan pekerja swasta yang beralih angin bertugas sebagai penjawat awam bagi mencurahkan khidmat bakti kepada institusi kerajaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa saya juga mengalami perubahan cara dan persekitaran kerja yang berbeza dalam sektor swasta dengan sektor awam. Namun demikian, perkara ini adalah sesuatu yang normal bagi sesiapa sahaja yang berhijrah ke tempat kerja yang baharu.

Perkara yang menarik perhatian saya ialah penggunaan frasa "Saya Yang Menurut Perintah" di sektor awam. Ternyata bahawa frasa ini digunakan secara meluas dalam surat-surat rasmi mahupun apa-apa sahaja bentuk tugas yang diarahkan.

Namun saya berpendapat bahawa frasa ini kadangkala disalahertikan oleh sesetengah pihak. Mereka merasakan bahawa mereka wajib mengikut arahan tanpa usul periksa.

Saya melihat perkara ini sebagai suatu persekitaran kerja yang kurang sihat .Jjika dibiarkan, hal ini boleh mewujudkan suasana kerja yang tidak kompetitif.

Bagaimanapun saya suka melihat perkara ini dari sudut punca atau sebab perkara ini boleh berlaku.

Pertama, saya berpendapat bahawa ruang perbincangan antara pemberi arahan dengan penerima arahan perlu dibuka dengan lebih telus dan berkesan.

Mahu tidak mahu ada antara penerima arahan merasakan diri mereka tidak wajar atau tidak layak mengulas lanjut tentang arahan yang telah diberikan. Pada waktu inilah peranan pemberi arahan amat diperlukan.

Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyatakan "Era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu" , iaitu setiap ketua di sektor awam harus mempraktikkan komunikasi dua hala dengan pekerja mereka.

Selain hanya memberi arahan, penerima arahan perlu ditanya tentang arahan yang diberikan. Wujudkan ruang perbincangan antara ketua dengan orang bawahan, iaitu "walaupun saya ketua tidak semestinya saya sentiasa betul". Persekitaran seperti ini akan melahirkan pekerja yang lebih proaktif dan dinamik.

Kedua, keberanian menyuarakan pendapat sering disalah ertikan sebagai degil dan melawan arahan. Penerima arahan yang sering menyuarakan pendapat dilabel sebagai tidak suka kepada majikan. Percaya atau tidak, ada pekerja yang dipulaukan kerana alasan sedemikian. Ini juga harus diubah.

Menyuarakan pendapat adalah perkara yang sangat perlu bagi melahirkan pekerja yang rajin berfikir. Mereka yang hanya mengikut arahan tanpa soal kadangkala mereka yang sudah tidak mahu berfikir kerana takut dilabel degil oleh pekerja lain.

Dalam hal ini, sekali lagi peranan ketua jabatan amat diperlukan. Jangan melabel orang yang memberi pendapat itu sebagai orang yang suka melawan. Mungkin ada jalan yang lebih murah dan efektif idea yang dicetuskan oleh penerima arahan.

Secara ringkasnya, frasa ini boleh diperbetulkan dengan sebahagian besar peranannya dimainkan oleh pemberi arahan. Jangan jadikan frasa ini sebagai satu tiket untuk merasakan diri anda berkuasa untuk jawatan anda.

Walaupun nampak remeh, pendapat saya ini mampu memperbetulkan tafsiran salah terhadap frasa ini yang mungkin dapat merealisasikan "1 Malaysia" dengan jayanya.

Pengalaman memang mendewasakan kita, tetapi jangan pula menganggap perkara yang kita lalui itu sentiasa betul. Adakalanya kita memerlukan idea daripada mereka yang lebih muda daripada kita.

Jangan takut menghadapi kesilapan, tetapi takutlah menghadapi kesilapan yang sama berulang kali.

Monday, November 23, 2009

kebaikan menyimpan wang

Karangan UPSR

Kebaikan yang dapat diperoleh jikalau kita mengamalkan sikap menabung pada usia muda lagi!!!

Menabung merupakan satu amalan yang baik. Menabung membolehkan seseorang belajar merancang masa depannya dengan baik.

Amalan menabung ini akan memberi manfaat kepada diri sendiri dan keluarga.Walaupun menabung mengambil masa yang agak lama untuk menjadi banyak namun ia mendidik seseorang itu bersikap sabar dan sentiasa berusaha.Bak kata pepatah Melayu 'sedikit-sedikit,lama-lama jadi bukit.'Pepatah ini amat sesuai digunakan sebagai galakan kepada kanak-kanak untuk menabung.

Amalan menabung ini seharusnya diteruskan sepanjang hayat.Hal ini berlaku demikian kerana apabila kita menghadapi masalah kewangan atau dalam kesusahan,kita dapat mengeluarkan simpanan kita untuk digunakan.Ibaratnya 'sediakan payung sebelum hujan'.

Justeru,ibu bapa harus memberi galakan kepada anak-anak mereka supaya mengamalkan amalan ini.Anggaplah amalan menabung ini satu kepentingan dan perkara yang menguntungkan.

Oleh itu,amalan ini memberi banyak kebaikan kepada seseorang.Kita hendaklah bijak dalam merancang perbelanjaan seharian bagi menjamin masa hadapan yang lebih terjamin.

Mengenang Jasa Ibu

Karangan UPSR

Bagaimana kita mengenang jasa ibu???

Ibu kita ialah insan yang bertanggungjawab melahirkan dan membesarkan kita.Tanpa kehadiran mereka,sudah pastinya kita tidak akan hidup di muka bumi ini. Oleh itu,sebagai seorang anak kita hendaklah menghormati,menghargai dan menyayangi seorang ibu kita.

Kita juga hendaklah menyedari dan tugas berat yang terpaksa dipikul oleh ibu ita untuk membesarkan kita sehingga menjadi manusia yang berguna. Mereka tidak pernah merungut atau menyesal dengan kehadiran kita. Malah mereka amat menyayangi kita dan sanggu berkorban apa-apa sahaja untuk kebahagian kita.

Sebagai seorang anak yang mengenang jasa,kita mestilah berusaha untuk membalas jasa ibu kita.Walaupun ibu tidak pernah meminta dan menagih sebarang balasan,namun ini kita sendiri patut sedar dan insaf atas pengorbanan inu selama ini.

Kita hendaklah menghormati ibu dan jangan sesekali menyakiti hati perasaan ibu. Hidup kita tidak akan selamat sekiranya kita mereka,mustahil kita dapat mencari gantinya semula.

Harta benda yang banyak dan wang ringgit yang berjuta-juta belum tentu dapat membalas jasa ibu kita. Segala jasa dan pengorbanan yang dicurahkan kepada kita tidak bernilai harganya dan tidak dapat diukur dengan anak ringgit dan emas sekalipun.

Kita juga mestilah menunjukkan rasa kasih sayang kita terhadap ibu,apalah lagi di saat usia ibu yang sudah meningkat dan memerlukan perhatian. Hanya kasih sayang yang abadi dapay mengukur sejauh mana kita sanggup membalas jasa dan pengorbanan ibu terhadap kita.

Sunday, November 22, 2009

Faedah Menyertai Kelas Tambahan

Karangan UPSR

Murid-murid sekolah digalakkan mengikuti kelas tambahan.

Tulis faedah-faedah mengikuti kelas tambahan.

Murid-murid sekolah digalakkan mengikuti kelas tambahan kerana banyak faedah yang mereka peroleh apabila mengikuti kelas sebegini. Kelas tambahan sudah menjadi satu kebiasaan dalam kehidupan murid-murid kini.

Faedah yang ketara apabila seseorang murid itu mengikuti kelas tambahan ialah pemahaman mereka terhadap pelajaran akan menjadi semakin kukuh. Kelas ini begitu penting buat murid yang lemah dalam sesuatu pelajaran.

Salah satu kelebihan kelas tambahan ialah guru boleh memberikan banyak latihan tambahan yang boleh meningkatkan keupayaan murid itu untuk menjawab soalan. Kaedah ini juga dikenali sebagai latih tubi yang turut memberikan satu pengalaman kepada murid untuk menghadapi realiti peperiksaan sebenarnya.

Pengalaman menjawab yang dialami dalam kelas tambahan berupaya memberikan satu keyakinan kepada murid tersebut dalam menghadapi peperiksaan pula. Mereka yang sudah banyak kali membuat soalan yang hampir serupa berasa yakin untuk menjawab dengan tenang dan tepat setiap soalan yang diberikan itu.

Malah, kelas tambahan juga memastikan murid-murid memanfaatkan masa dengan aktiviti yang berfaedah. Kelas tambahan yang diadakan selepas waktu sekolah biasa menyukarkan murid-murid untuk terbabit dalam gejala yang tidak sihat seperti melepak dan menghabiskan masa menonton televisyen.

Kesimpulannya, murid-murid sekolah perlu digalkkan mengikuti kelas tambahan untuk memastikan masa depan mereka cerah. Namun, jumlah kelas yang dihadiri oleh murid ini juga harus dikawal supaya mereka tidak menghabiskan sepanjang masa dengan menghadiri kelas tambahan sahaja. Kualiti lebih penting daripada kuantiti menghadiri kelas.

Cara-cara Menjaga Kesihatan Diri

Karangan UPSR

Penjagaan kesihatan diri sangat penting kepada kita.
Tulis karangan tentang cara-cara menjaga kesihatan diri.

Semua individu perlu menjaga kesihatan mereka sendiri supaya mereka dalam keadaan yang sihat dalam hidup mereka. Ada banyak cara untuk memastikan kesihatan seseorang itu dalam keadaan baik.

Cara yang laing mudah ialah seseorang itu perlu menjaga kebersihan diri. Aktiviti mandi dan memakain pakaian yang bersih serta memastikan kawasan sekeliling rumah bersih merupakan langkah yang paling praktikal untuk dilakukan oleh sesiapa sahaja.

Selain itu, pemakanan yang seimbang amat penting terutama makanan yang berzat. Makanan segera perlulah dijauhkan tetapi air hendaklah diambil dalam kuantiti yang banyak dalam sehari untuk menjamin kesihatan yang baik.

Malah, aktiviti bersenam juga mampu mengekalkan kadar kesihatan yang baik. Senaman memastikan peluh dikeluarkan bersama-sama toksik badan yang mampu memberikan seseorang itu tahap imunisasi yang tinggi terhadap sebarang serangan penyakit.

Seseorang itu juga perlulah bertemu dengan doktor mengikut jadual berkala. Pemeriksaan yang berjadual sebegini mampu mengesan penyakit ketika di peringkat awal lalu mudah menyembuhkannya dan nasihat doktor hendaklah dipatuhi selalu.

Kesimpulannya, menjaga kesihatan merupakan satu tanggung jawab yang harus dilaksanakan dengan penuh amanah. Kesihatan yang baik bukan sahaja menijmatkan kos perubatan seseorang itu tetapi memberikan satu kehidupan yang penuh ceria kepada diri dan keluarga jua.

Faedah Membaca

Karangan UPSR

Tulis karangan yang bertajuk, “Faedah Membaca”

Semua orang tanpa mengira usia perlulah menyemai minat membaca dalam sanubari mereka. Amalan membaca memberikan banyak faedah kepada seseorang itu sepanjang hidupnya sama ada disedari atau tidak oleh diri individu tersebut.

Manfaat yang jelas diberikan oleh sikap membaca ialah ilmu pengetahuan seseorang itu dalam pelbagai bidang akan bertambah. Pemilikan pengetahuan ini memudahkan seseorang itu untuk menyesuaiakan diri dalam kehidupan era moden yang penuh cabaran ini.

Tambahan pula, sikap membaca boleh menjadi satu cara yang paling mudah dan murah untuk menghabiskan masa lapang. Seseorang itu hanya perlu membeli majalah, akhbar atau buku dan duduk membaca di mana-mana yang sesuai buat mereka berjam-jam lamanya tanpa sebarang gangguan.

Bahan bacaan juga boleh menjadi satu cara untuk menghiburkan seseorang itu terutama ketika keseorangan. Ada banyak bahan bacaan yang mampu memberikan pelbagai bentuk hiburan seperti novel, cerpen dan puisi kepada pembacanya dengan mudah.

Malah, membaca juga boleh membantu seseorang itu terutama pelajar untuk lulus dengan baik dalam peperiksaannya. Semakin banyak buku yang dibaca semakin besarlah peluang pelajar itu untuk lulus dengan cemerlang kerana semua soalan peperiksaan berdasarkan bahan bacaan yang diberikan oleh pihak sekolah.

Konklusinya, tabiat suka membaca perlu dipupuk sejak kecil. Minat ini kemudiannya akan berkembang apabila mereka menjadi dewasa lalu amalan ini akan terus wujud dalam diri seseorang itu.

Syarahan tentang "Cara-cara Menjadi Murid Cemerlang"

Karangan UPSR

Tulis syarahan bertajuk “Cara-cara Menjadi Murid Cemerlang”

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, guru besar, para guru serta rakan sekalian. Izinkan saya menyampaikan satu syarahan bertajuk “Cara-cara Menjadi Murid cemerlang”.

Hadirin,

Kecemerlangan pasti mampu meningkatkan imej seseorang murid tersebut. Oleh itu, setiap murid harus tahu cara-cara tertentu untuk mencapai kecemerlangan pendidikan ini.

Langkah awal ialah setiap murid perlu sedar akan kelemahan diri mereka. Kefahaman akan kelemahan diri ini membolehkan murid menyedari subjek yang perlu diberi penekanan lebih mendalam. Oleh itu, murid akan belajar secara sistematik bagi menangani kelemahan tersebut.

Selain itu, murid harus memiliki jadual belajar yang efektif. Kewujudan jadual sebegini menjadikan murid tahu masa yang sesuai untuk melakukan pelbagai aktiviti yang bukan sahaja berkaitan dengan pelajaran tetapi aktiviti lain yang turut penting seperti berbual-bual dengan rakan dan bersukan. Kepatuhan mematuhi jadual ini menjadikan murid akan mengalami satu kehidupan belajar yang seimbang.

Hadirin yang budiman,

Setiap murid juga semestinya memiliki satu teknik ulang kaji yang berkesan. Semua subjek harus diteliti dan latihan yang cukup dilaksanakan untuk memastikan murid memahami subjek itu secara mendalam. Latihan yang sistematik menjadikan murid lebih yakin untuk menghadapi peperiksaan kelak.

Malah, aspek kesihatan diri secara peribadi harus ditekankan. Amalan pemakanan seimbang bersama-sama ketenangan emosi penting dalam kejayaan seseorang murid itu. Keadaan ini boleh menjadikan murid lebih yakin dan tenang menghadapi sebarang cabaran peperiksaan yang muncul.

Sesungguhnya, kecemerlangan tidak mungkin diperoleh dengan mudah sahaja. Semua murid harus berusaha dan mematuhi amalan-amalan positif tertentu. Tanpa usaha sudah pasti kejayaan tidak akan muncul begitu sahaja.

Sekian sahaja syarahan saya pada kali ini. Terima kasih.

Saturday, November 21, 2009

Perbahasan tentang Faedah Bergotong-Royong

Karangan UPSR

Tulis sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah Bergoyong-royong:.


Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, Guru Besar, guru-guru, dan para hadirin. Ada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang bertajuk “Faedah Bergotong-royong”.

Hadirin sekalian,

Menurut Kamus Dewan 2009, konsep gotong-royong membawa maksud mengerjakan atau mengusahakan sesuatu secara bersama-sama. Berdasarkan makna ini, sebarang aktiviti kerja yang dilaksanakan secara bersama-sama bolehlah dianggap sebagai bergotong-royong.

Amalan bergotong-royong memastikan semua kerja dapat dilaksanakan dengan cepat, mudah dan menjimatkan kos serta meriah. Sebagai contoh, majlis perkahwinan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan jika semua ahli masyarakat bekerjasama melaksanakannya selain menjimatkan kos untuk mengupah orang datang memasak atau membina pelamin buat pasangan pengantin. Ringkasnya, sikap mementingkan diri dapat dihindarkan menerusi amalan yang murni ini.

Di kampung-kampung, amalan ini masih lagi boleh dilihat dan berlaku sehingga hari ini. Dengan amalan ini, kita bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan masa tetapi mengeratkan perpaduan sesama ahli masyarakat setempat kerana berlakunya interaksi ketika amaln bergotong-royong ini dilakukan.

Oleh itu, amalan ini merupakan satu tradisi mulia yang perlu dikekalkan. Kita sebagai rakyat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum perlu mengekalkan amalan murni ini supaya satu masyarakat yang bersatu-padu mampu dihasilkan dengan mudah. Perpaduan yang selama ini wujud banyak bergantung kepada kekerapan aktiviti bergotong-royong ini dilakukan.

Memandangkan masa tidak mengizinkan saya untuk terus berkata-kata, biarlah saya mengundurkan diri dahulu.