Friday, November 27, 2009

Frasa "Saya Yang Menurut Perintah"

SAYA adalah antara ribuan pekerja swasta yang beralih angin bertugas sebagai penjawat awam bagi mencurahkan khidmat bakti kepada institusi kerajaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa saya juga mengalami perubahan cara dan persekitaran kerja yang berbeza dalam sektor swasta dengan sektor awam. Namun demikian, perkara ini adalah sesuatu yang normal bagi sesiapa sahaja yang berhijrah ke tempat kerja yang baharu.

Perkara yang menarik perhatian saya ialah penggunaan frasa "Saya Yang Menurut Perintah" di sektor awam. Ternyata bahawa frasa ini digunakan secara meluas dalam surat-surat rasmi mahupun apa-apa sahaja bentuk tugas yang diarahkan.

Namun saya berpendapat bahawa frasa ini kadangkala disalahertikan oleh sesetengah pihak. Mereka merasakan bahawa mereka wajib mengikut arahan tanpa usul periksa.

Saya melihat perkara ini sebagai suatu persekitaran kerja yang kurang sihat .Jjika dibiarkan, hal ini boleh mewujudkan suasana kerja yang tidak kompetitif.

Bagaimanapun saya suka melihat perkara ini dari sudut punca atau sebab perkara ini boleh berlaku.

Pertama, saya berpendapat bahawa ruang perbincangan antara pemberi arahan dengan penerima arahan perlu dibuka dengan lebih telus dan berkesan.

Mahu tidak mahu ada antara penerima arahan merasakan diri mereka tidak wajar atau tidak layak mengulas lanjut tentang arahan yang telah diberikan. Pada waktu inilah peranan pemberi arahan amat diperlukan.

Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak juga menyatakan "Era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berlalu" , iaitu setiap ketua di sektor awam harus mempraktikkan komunikasi dua hala dengan pekerja mereka.

Selain hanya memberi arahan, penerima arahan perlu ditanya tentang arahan yang diberikan. Wujudkan ruang perbincangan antara ketua dengan orang bawahan, iaitu "walaupun saya ketua tidak semestinya saya sentiasa betul". Persekitaran seperti ini akan melahirkan pekerja yang lebih proaktif dan dinamik.

Kedua, keberanian menyuarakan pendapat sering disalah ertikan sebagai degil dan melawan arahan. Penerima arahan yang sering menyuarakan pendapat dilabel sebagai tidak suka kepada majikan. Percaya atau tidak, ada pekerja yang dipulaukan kerana alasan sedemikian. Ini juga harus diubah.

Menyuarakan pendapat adalah perkara yang sangat perlu bagi melahirkan pekerja yang rajin berfikir. Mereka yang hanya mengikut arahan tanpa soal kadangkala mereka yang sudah tidak mahu berfikir kerana takut dilabel degil oleh pekerja lain.

Dalam hal ini, sekali lagi peranan ketua jabatan amat diperlukan. Jangan melabel orang yang memberi pendapat itu sebagai orang yang suka melawan. Mungkin ada jalan yang lebih murah dan efektif idea yang dicetuskan oleh penerima arahan.

Secara ringkasnya, frasa ini boleh diperbetulkan dengan sebahagian besar peranannya dimainkan oleh pemberi arahan. Jangan jadikan frasa ini sebagai satu tiket untuk merasakan diri anda berkuasa untuk jawatan anda.

Walaupun nampak remeh, pendapat saya ini mampu memperbetulkan tafsiran salah terhadap frasa ini yang mungkin dapat merealisasikan "1 Malaysia" dengan jayanya.

Pengalaman memang mendewasakan kita, tetapi jangan pula menganggap perkara yang kita lalui itu sentiasa betul. Adakalanya kita memerlukan idea daripada mereka yang lebih muda daripada kita.

Jangan takut menghadapi kesilapan, tetapi takutlah menghadapi kesilapan yang sama berulang kali.

No comments:

Post a Comment